Aku dan kehidupan

`Dan belanjakanlah daripada yang telah kami(Allah) berikan rezeki kepada kamu sebelum seseorang kamu didatangi maut, lalu berkata: Wahai Tuhan! mengapa tidak engkau undurkan saja umurku pada satu masa yang dekat, nescaya aku akan bersedekah dan menjadi orang yang soleh, padahal Allah tidak akan menangguhkan ajal sesuatu jiwa bila sampai ajalnya. (Al-Munafiqun:10-11)

Abdur Rahman ucap syahadah melalui telefon




IRONINYA, jika dilihat persekitaran beliau dibesarkan iaitu di Amerika Syarikat, pastinya sesuatu yang dirasakan luar biasa atau pelik apabila pemuda Korea yang membesar dengan didikan agama Kristian telah menemui hidayah Ilahi di negara yang majoriti penduduknya bukan beragama Islam.

Pun begitu, bagi umat Islam yang sentiasa didedahkan dengan konsep qada dan qadar Allah tidak dapat menafikan takdir ketentuan Ilahi yang dilalui oleh Abu Abdur Rahman. Apa lagi, dirinya sejak kecil pernah menetap selama lima tahun di negara-negara yang didominasi oleh umat Islam.

Menceritakan serba ringkas latar belakang ibu bapa, kata Abu Abdur Rahman, orang tuanya berasal dari Korea Selatan serta dibesarkan dengan fahaman ateis (orang yang tidak mengakui atau mempercayai kewujudan Tuhan).

Namun, pada usia mereka menjangkau remaja mereka beralih kepada agama Kristian sehingga memegang pangkat dan kedudukan tertinggi di gereja.

Apabila Abu Abdur Rahman lahir, dia telah dibaptiskan, seterusnya membesar dalam suasana kehidupan Kristian bersama adik lelakinya.

Pekerjaan bapanya yang mengetuai bahagian pembinaan syarikat Hyundai Corporation menyebabkan mereka sering mengalami perpindahan terutamanya apabila pembukaan tapak-tapak pembinaan baru syarikat.

Kata Abu Abdur Rahman, mereka pernah bermastautin di Indonesia kira-kira selama dua setengah tahun. Pada ketika itu, usianya masih terlalu kecil, membantutkan kenangan pada waktu itu.

Berbanding ketika menetap di Riyadh, Arab Saudi meskipun dalam tempoh masa yang sama seperti di Indonesia, namun kenangannya masih segar dalam ingatan Abu Abdur Rahman.

Malah kata beliau, ia adalah pengalaman paling bermakna kerana menjalani kehidupan yang serba mewah. Pun begitu, pengalaman hidup bermasyarakat di sana sangat berbeza bagai langit dengan bumi.

Sikap sombong diri masyarakat Arab, sehingga kini meninggalkan bibit-bibit kebencian bapanya. Lantas sikap prejudis dan diskriminasi bangsa inilah mencetus kepada idea bapa untuk berpindah semula ke AS.

"Pada masa itu, saya berusia 10 tahun. Jadi boleh dikatakan kami dua beradik menghabiskan masa di kota metropolitan itu, lagak seorang warga Amerika.

"Sungguhpun saya bergaul dengan semua kumpulan etnik yang ada, namun ada jurang wujud dengan orang Asia, terutamanya orang Korea. Di sekolah menengah saya mempunyai seorang teman baik bernama AC," jelasnya.

Selepas sekolah menengah, kata Abu Abdur Rahman, mereka berpindah ke bandar lain dan menyambung pengajian ke peringkat kolej. Ibu bapa telah kembali ke Korea, jadi secara tidak langsung, beliau sudah terbiasa hidup berdikari cuma tidak dari segi kewangan.

Kehidupan bebas

"Kehidupan bebas ketika di kolej inilah telah membawa saya jauh menyimpang. Apa tidaknya, saya sudah mula berjinak-jinak dengan minuman keras dan kehidupan sosial yang bebas. Biarpun saya sedar, apa yang dilakukan itu memudaratkan diri tetapi saya tidak mengendahkannya.

"Saya dikejutkan dengan satu panggilan telefon daripada AC memberitahu yang dia telah Muslim. Meskipun, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan pada peringkat awal, namun lama kelamaan, saya melihat perubahannya begitu drastik.

"Perubahan itu begitu menganggu sehingga saya kategorikan AC sebagai seorang pengikut yang fanatik," akuinya yang pada masa sama, cuba menjauhkan diri daripada AC.

Sehinggalah pada cuti musim panas, Abu Abdur Rahman kembali ke Korea. Kalau sebelum ini dia akan tinggal di rumah AC berbanding di rumah orang tuanya tetapi pengislaman AC menyebabkan wujud jurang di antara mereka. Lantaran itu, Abu Abdur Rahman menumpang di rumah teman lain.

Sebaik mengetahui kepulangannya, AC terus menemui Abu Abdur Rahman ketika dia sedang menghadiri majlis tari menari. Semalaman itu, mereka berdua berbual panjang mengenai agama sehinggalah masuk waktu Subuh.

AC terus mempelawa Abu Abdur Rahman menemaninya ke masjid untuk bersolat sebelum mereka bersarapan.

"Ketika di situlah saya lihat suasana yang cukup unik dan jauh berbeza seperti di gereja. Apa tidaknya, umat Islam daripada pelbagai etnik bangsa solat berjemaah dalam satu saf. Sudah pasti, ia suasana yang sukar ditemui dalam mana-mana agama kecuali Islam.

"Kemudian kami dijemput bersarapan di rumah salah seorang daripada teman AC. Banyak yang kami bincangkan dan ketika melangkah keluar dari rumah itu, tuan rumah tersebut telah menghadiahkan senaskah terjemahan al-Quran berbahasa Inggeris kepada saya.

"AC mahu saya berjanji untuk membacanya. Saya membalas dengan senyuman berat," kata Abdur Rahman sebelum mereka berpisah.

Ketika di kolej, rutin kehidupannya berjalan seperti biasa. Ada juga dia menerima panggilan daripada AC bertanyakan jika dia sudah membaca terjemahan al-Quran.

"Belum lagi, tetapi saya akan," itulah kata-kata yang terbit setiap kali ditanyakan AC.

Petang itu, sewaktu sedang duduk melepas lelah kerana selesai mentelaah, dia terpandang naskah terjemahan al-Quran di atas rak-rak kayu yang semakin diselaputi habuk itu. Terlintas di benak Abu Abdur Rahman, tidak salah sekadar membacanya lantas terus mencapai buku itu.

Sebaik terbaca terjemahan yang bermaksud: Kitab (al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa (al-Baqarah: 2) tidak semenamena Abu Abdur Rahman bagaikan dikejutkan daripada lamunan.

"Begitu jelas dan tepat kata-kata itu. Sama ada buku ini, satu kebenaran atau satu penipuan," itulah yang terlintas di fikirannya sebelum terus menyambung bacaan.

"Saya semakin tertarik dengan kata-kata di dalam buku itu sehingga tidak sanggup melepaskannya. Pada masa sama, hati saya mengakui kebenarannya. Bacaan saya terhenti dek deringan telefon pada pukul 6 pagi. Rupa-rupanya, AC di talian.

"Seperti biasa dia bertanyakan khabar dan dalam perbualan ringkas itu, AC bagai dapat menghidu sesuatu perubahan pada saya.

"Terpacul dari mulut saya pertanyaan yang tidak disangka-sangka oleh AC iaitu bagaimana untuk bergelar Muslim. AC lantas mengajarkan saya dua kalimah syahadah melalui telefon, Amin," cerita Abu Abdur Rahman di laman web Islamonline.net.

Tulisan dari: Utusan Malaysia

puasa kembalikan kita kepada fitrah

UMAT Islam masih bergembira menyambut Aidilfitri setelah menunaikan ibadah puasa. Persoalan yang perlu dibicarakan sekarang ialah apakah agenda seorang Muslim selepas Ramadan?
Hal ini penting ditelusuri kerana beberapa faktor.
Pertama, ibadah berpuasa tidak harus dipandang secara terpisah daripada ibadah lain. Ini kerana ia mempunyai kesinambungan daripada misi keseluruhan ibadah di dalam Islam.

Kedua, perbincangan mengenainya akan memberi peringatan berterusan kepada umat Islam iaitu kejayaan melaksanakan ibadah berpuasa tidak bererti mereka sudah memenuhi keseluruhan maksud ibadah yang sebenar. Ibadah berpuasa mempunyai kesan atau implikasi sosial yang penting di dalam rangka menjayakan cita-cita besar agama Islam di muka bumi ini.Apakah cita-cita besar agama Islam dan kaitannya dengan ibadah berpuasa? Sekiranya ditelusuri, cita-cita besar agama Islam ialah mengembalikan masyarakat kepada aturan hidup yang berasaskan kejadian fitrahnya. Bagi tujuan itu, ibadah berpuasa adalah salah satu proses yang perlu dilalui bagi mencapai cita-cita besar ini.Sebagaimana yang dibahaskan oleh banyak tulisan, pelaksanaan ibadah puasa secara sempurna oleh seseorang Muslim akan memberi kesan besar di dalam mengembalikan diri kepada fitrah kejadiannya. Ibadah puasa ialah satu bentuk latihan kerohanian bagi membangunkan jiwa yang kental.

Sepanjang sebulan yang lalu, kita dilatih menahan diri daripada terjebak di dalam perbuatan yang bertentangan dengan aturan fitrah kehidupan. Di dalam perspektif agama, aturan fitrah ini dikenali sebagai syara’. Apabila seseorang itu dapat mengatur perjalanan hidupnya berasaskan syara’, ia bererti seseorang itu telah mengembalikan dirinya kepada kehidupannya yang fitrah.

Keupayaan kembali kepada fitrah adalah suatu kemenangan besar dari sudut kerohanian. Menerusi pandangan ini, sambutan Aidilfitri adalah sebahagian daripada manifestasi perayaan kemenangan diri insan kembali kepada fitrah kejadiannya. Namun, apakah pula tugas dan peranan seseorang individu Muslim selepas berjaya mengembalikan dirinya kepada aturan fitrah kejadiannya? Sudah tentu mereka harus berusaha sedaya upaya pula untuk mengembalikan masyarakat dan kehidupan persekitarannya kepada aturan fitrah juga. Ia bererti seseorang Muslim itu hendaklah membabitkan diri di dalam memperbaiki dan memperbaharui masyarakat agar berada di dalam suatu aturan hidup yang disandarkan kepada hukum sosial dan alam yang bersifat sejagat.

Agenda mengembalikan masyarakat kepada aturan fitrah yang dimaksudkan adalah cita-cita dan misi utama penurunan agama Islam di muka bumi ini. Cita-cita bagi merealisasikan agenda ini diamanahkan kepada para nabi terdahulu. Kini, amanah ini menjadi tugas dan tanggungjawab kita semua sebagai warga umat Islam. Di dalam sejarah awal perkembangan Islam di Makkah, agenda mengembalikan masyarakat kepada aturan fitrah terjelma di dalam usaha dakwah Nabi Muhammad SAW memperbaiki dan memperbaharui masyarakat Arab pada waktu itu yang terjebak dengan penyelewengan daripada aturan fitrah kehidupannya.

Fenomena penyelewengan daripada aturan fitrah ini dapat dilihat dalam aspek pencemaran dari sudut kepercayaan dan perleluasaan budaya hidup yang meruntuhkan. Amalan menjadikan berhala sebagai jelmaan tuhan yang disembah dan pemecahan masyarakat berasaskan warna kulit dan darjat kaum atau kabilah adalah antara contoh penyelewengan aturan fitrah yang dialami masyarakat Arab.

Proses mengembalikan semula masyarakat daripada fenomena penyelewengan ini kepada aturan fitrah dianjurkan Islam menerusi pengenalan semula prinsip kepercayaan yang lurus menerusi konsep Tuhan yang Esa atau ‘Tauhid’ dan mempertegaskan konsep perhubungan sosial bersandarkan prinsip kesaksamaan sesama manusia atau juga dikenali sebagai ‘Ummah’. Dua konsep ini menjadi sebahagian tema utama dakwah dan misi kerasulan Nabi Muhammad kepada masyarakat Arab secara khusus dan umat manusia seluruhnya. Pada masa kini, tugas mengembalikan masyarakat kepada aturan fitrah bertambah kompleks dan mencabar.

Penyelewengan manusia daripada aturan fitrahnya meliputi segenap aspek seperti pemikiran, kebudayaan dan perhubungan sosial. Masyarakat dunia kini terdedah dengan pelbagai aliran berfikir dan ideologi. Sebahagiannya seperti ajaran sesat dan pemikiran dan cara hidup bebas boleh memberi mudarat kepada aturan fitrah kepercayaan serta kefahaman manusia mengenai Tuhan dan kehidupan. Penyelewengan aturan fitrah juga tergambar di dalam permasalahan perbezaan taraf hidup yang melampau antara golongan kaya dan miskin. Kedapatan sesetengah masyarakat yang masih kekurangan sumber makanan dan peluang pendidikan manakala sesetengah yang lain bermewah dan berlebihan. Keadaan yang sama juga dapat dilihat di dalam hubungan perseteruan antara kaum dan negara yang masih lagi berleluasa.

Dunia hari ini masih lagi belum kesepian daripada masalah peperangan dan penjajahan. Dari segi kelestarian kehidupan, dunia kini sedang berdepan ancaman perubahan cuaca. Iklim dunia sudah tidak menentu lagi. Kerakusan manusia terhadap sumber alam menyebabkan peningkatan bencana alam seperti banjir, ribut dan gempa bumi yang melampau. Kesemua ini adalah antara contoh permasalahan dan cabaran kehidupan moden yang menuntut pembabitan langsung umat Islam bagi proses pembaikan dan pembaharuan. Ia sebahagian fenomena ketergelinciran kehidupan manusia daripada aturan fitrah kejadiannya. Oleh kerana itu, tugas mengembalikan semula masyarakat kepada aturan fitrah adalah agenda terbesar ibadah bagi setiap Muslim.

Semoga kita semua sudah bersedia terutama dari sudut ketahanan diri dan kekentalan jiwa setelah berjaya melepasi latihan rohani menerusi ibadah berpuasa sebulan yang lalu. Marilah kita menyumbang usaha dan tenaga di dalam batas keupayaan yang kita miliki bagi menjayakan agenda dan misi besar agama Islam ini kepada seluruh masyarakat manusia di muka bumi ini.

Sumber: Berita harian ,Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)